MUSIM BUNGA DI KOTA ISTANBUL (PART 2)


oleh: Khairul Akmaliah Adham & Rosmah Mat Isa

Jalan-Jalan ke Eminönü




 Hagia Sophia ketika musim bunga
yang begitu memukau hati

Setelah puas menimba ilmu sejarah tentang Hagia Sophia, kami meneruskan perjalanan ke Eminönü. Dalam perjalanan ke sana, kami terlihat banyak penjual aiskrim tradisi Turki dan terus berhenti di salah satu kedai untuk membeli aiskrim. Penjual aiskrim menyakat kami sehingga puas sebelum kami diberi aiskrim. Itulah tradisi penjual aiskrim di negara ini. Selesai makan aiskrim, kami terlihat seorang makcik yang sedang duduk membuat roti berinti ala murtabak, tetapi diisi juga dengan keju di dalam sebuah restoran membuatkan perut kami terasa lapar dan meggerodak, lantas terus  membuat keputusan untuk menjamu selera  di restoran tersebut. Kami telahpun biasa dengan menu-menu makanan orang Turki dek pengalaman kami sewaktu di Kozyatağı. Kami memesan menu yang sama, yakni terung dan kepalan daging lembu kisar serta daging kambing pacak yang dibakar. Kami makan dengan penuh kesyukuran atas nikmat Allah berada di negara Turki, sebuah negara yang mana makanannya adalah halal dan menu yang sememangnya kena dengan selera kami. Namun, apabila menerima bil bayaran, kami terkejut dengan harga makanan yang tiga kali lebih mahal dan tinggi berbanding dengan menu yang sama yang terdapat di restoran yang sering kami kunjungi sewaktu di Kozyatağı. Mungkin dek kerana kawasan restoran ini menjadi tempat tumpuan para pelancong, maka harga yang dikenakan adalah tinggi. Berhati-hatilah kepada para pelancong yang berhasrat untuk menjamu selera di kawasan tumpuan ini. 

Hamparan bunga tulip yang penuh warna-warni
dan menyegarkan minda penulis


Bunga tulip yang tumbuh segar
di sepanjang perjalanan ke Eminönü

Selepas makan, kami meneruskan perjalanan ke Eminönü. Setelah hampir sampai ke Spice Market, kami singgah dahulu di New Mosque untuk bersolat. Kemudian, kami terus ke Spice Market untuk membeli Turkish Delight dan kopi Turki untuk sanak saudara dan rakan-rakan di Malaysia. Ada rakan yang berpesan menyuruh kami mencari Turkish Delight yang bersalut dengan kelopak bunga ros yang telah dikeringkan. Ternyata manisan Turkish Delight ini begitu enak dan wangi yang dibuat dengan penuh kesenian. 

Manisan Turkish Delight yang pelbagai termasuk yang bersalut dengan kelopak bunga ros kering 

Setelah selesai membeli-belah di Spice Market, jam telah menunjukkan pukul 6 petang, dan para peniaga dilihat tampak sedang bersiap sedia untuk menutup kedai masing-masing. Kami hampir panik kerana masih belum membeli tudung yang sememangnya menjadi perkara wajib apabila berkunjung ke sana. Alhamdulillah mujurlah terdapat beberapa kedai tudung masih dibuka, maka kami dapat membeli belah. Namun, tudung kain kapas yang dicari amat terhad oleh kerana menurut peniaga, tudung kain kapas hanya dijual sewaktu musim sejuk. Apabila tiba musim bunga, para peniaga mula mengambil stok tudung yang baharu yang kebanyakannya adalah dibuat dengan kain sutera crepe dan licin mahupun jenis kain licin lain. Seraya itu, kami terus memilih dan membeli beberapa helai tudung memandangkan harga tudung dan kualiti yang sedemikian jarang didapati di Malaysia. Memandangkan hari telah gelap, menunujukkan waktu magrib telah hampir masuk, kami pun bergerak pulang ke hotel untuk beristirehat. Dalam perjalanan pulang, kami melihat lori-lori sampah bandaran mula memasukkan kawasan perniagaan dan pekerja bandaran sedang sibuk membersihkan kawasan bagi memastikan persekitaran perniagaan sentiasa bersih. Amalan begini seharusnya dilakukan oleh semua ahli masyarakat tidak mengira kaum. Begitu gigih masyarakat di Istanbul ini memastikan keadaan kota yang sentiasa bersih dan rapi.

Berakhir sudah penulis dan rakan berkelana dan berwisata di Kota Istanbul. Begitu indah Kota Istanbul sepanjang perjalanan kami di sana. Sekali ke sana, pasti terkenang akan keindahannya dan para peniaga yang sopan santun dan bersih rapi dalam dunia perniagaan yang semakin dilanda arus perubahan. Syabas untuk pihak majlis bandaran Kota Istanbul dalam memastikan kawasan bandaran sentiasa bersih dan indah. Adapun Sunnah Rasulullah SAW turut menekankan kebersihan dan kepentingan merai tetamu yang masih kekal kukuh dalam hati dan sanubari warga Kota Istanbul, bagai melambangkan kehidupan mereka yang berpegang teguh kepada syiar Islam sehingga ke akhir hayat.




Comments