MUSIM BUNGA DI KOTA ISTANBUL (PART 1)

oleh: Khairul Akmaliah Adham & Rosmah Mat Isa

Masjid Biru dan Hagia Sophia


Pada sekitar bulan Mei yang lalu, kami berdua telah berkunjung ke Kota Istanbul bagi tujuan menghadiri sebuah persidangan antarabangsa anjuran Istanbul Medeniyet University. Salah seorang dari kami memenuhi undangan untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan tersebut. Usai persidangan selama satu hari, kami mengambil kesempatan untuk mengunjungi keluarga kenalan kami di daerah Çekmeköy. Selesai makan malam di Çekmeköy, kami menaiki teksi untuk ke stesen metro menuju ke Sultanahmet.  Suatu pengalaman sewaktu berada di Kota Istanbul yang sememangnya indah dan sukar untuk dilupakan. Kami sampai di Hotel Grand Madrid pada pukul 11 malam. Setelah mendaftar masuk, pemuda yang menyambut kami segera bertanya sekiranya kami memerlukan sebarang bantuan. Beliau kemudian terus mempelawa minuman sejuk atau kopi panas untuk dihidangkan kepada kami dan kami yang memang menginginkan kopi panas dek kerana kesejukan terus membuat permintaan tanpa ragu-ragu.  

Ruang pejalan kaki dan trek tram sepanjang jalan
ke Masjid Sultanahmet


Usai mengemas barang kami di dalam bilik hotel, pintu kami tiba-tiba diketuk oleh seorang pemuda yang membawa dua cawan kopi panas dan sehelai sejadah yang bersih. Kami beristirehat sambil meminum kopi panas dengan penuh nikmat.  Kami kagum dengan tahap hospitaliti atau perkhidmatan yang ditunjukkan oleh warga kerja hotel di Istanbul ini walaupun bahasa menjadi batasan tetapi mereka tetap melayan kami dengan baik. Bak kata pepatah, terang lagi bersuluh dan jelas mengapa Turki dinobatkan sebagai destinasi pelancongan halal yang terbaik di dunia. Kualiti hospitaliti mereka berada di tahap paling baik dan tiada tolok bandingannya. Keesokan harinya, seawal jam 7 pagi, kami menikmati sarapan pagi dengan menu Turki.Masih teringat-ingat hidangan roti, keju, buah zaiton dan tomato yang menjadi kemestian dalam hidangan sarapan pagi orang-orang Turki. Restoran hotel ini terletak di tingkat paling atas dan terdapat beranda di atas bumbung yang menghadap Laut Marmara. Begitu indah dan segar sekali pemandangan pada pagi itu yang kian dirindu penulis hingga kini.

Pemandangan indah Laut Marmara di waktu pagi dalam musim bunga
dari atas bumbung Hotel Grand Madrid

Selesai sarapan, Sari yang telah diperkenalkan oleh sahabat kami Mesut telahpun menunggu kami di lobi hotel. Sari adalah salah seorang anak yatim yang kehilangan ibubapa dan saudara semasa Tsunami 2004 di Acheh yang menerima biasiswa dari kerajaan Turki untuk melanjutkan pelajaran ke univesiti di Turki.  Beliau terus membawa kami menelusuri jalan-jalan menuju ke kawasan Sultanahmet, destinasi wajib para pelancong apabila mengunjungi negara Turki. Dalam perjalanan menuju ke Masjid Sultanahmet atau Sultanahmet Camii juga dipanggil Masjid Biru, kami melihat para peniaga sedang membuka perniagaan masing-masing. Mereka sibuk menjalankan rutin harian dengan menyapu sampah dan mengemop lantai kedai dengan sabun di perkarangan kedai masing-masing. Begitu rajin para peniaga di Kota Istanbul ini menjaga kebersihan dan memastikan kekemasan kedai dan kaki lima kedai masing-masing. Di pertengahan jalan ke sana, kami singgah sebentar di Grand Bazaar. Rakan kami yang telah beberapa kali ke sana ada berpesan bahawa  barang-barang di dalam Grand Bazaar ini dijual lebih mahal berbanding dengan barangan yang di luar. Sementelah pula, kami merasakan perjalanan masih panjang, kami hanya mencuci mata melihat barangan di dalam Grand Bazaar ini. 

Grand Bazaar yang penuh dengan barangan menarik
sebagai cenderahati kepada ahli keluarga dan rakan-rakan

Kami meneruskan perjalanan dengan menelusuri banyak kedai jualan sebelum sampai ke Masjid Biru. Kadang-kala kedengaran peniaga yang memanggil kami dengan penuh sopan untuk membeli barang mereka, namun mereka tidak pula memaksa. Sesekali terhinggap di telinga penulis, ada peniaga yang memanggil Malaysia, menandakan mereka dapat mengenalpasti kami adalah kalangan pelancong dari Malaysia. Kami hanya tersenyum mengingatkan gelagat mereka. Dari kejauhan, kami terpaku melihat kubah masjid dan hati kami terus menjadi teruja. Sebaik masuk ke perkarangan masjid, kami bagaikan terpukau dengan keindahannya. Alangkah indahnya persekitaran kawasan masjid ini dengan ribuan pokok tulip berwarna putih yang sedang mekar begitu mengujakan hati ini. Kami bersiar-siar seketika menikmati keindahan alam dan sempat merakam beberapa keping gambar buat kenang-kenangan. Malahan, kami turut terserempak dengan ramai pelancong dari pelbagai negara termasuk dari Malaysia. Ada yang mengikuti trip pelancongan dari berbagai agensi pelancongan sama ada pelancongan sekitar Eropah, mahupun hanya pelancongan negara Turki sahaja, manakala yang lain hanya memfokus kepada pelancongan di sekitar Kota Istanbul sahaja. Kebanyakkan pelancong dari Malaysia mengambil kesempatan melancong ke Turki dalam perjalanan pergi atau pulang dari mengerjakan umrah. Setelah bertegur sapa dengan beberapa orang pelancong dari Malaysia, kami kemudiannya ke bilik wuduk yang terletak di sisi masjid. Ketika memasuki masjid, kami terserempak dengan sekumpulan pelancong dari negara China yang begitu teruja saat memakai jubah untuk memasuki ruang solat dalam Masjid Biru. Kami melihat pelbagai gelagat dan gaya para pelancong ketika mengambil gambar, termasuk untuk berswafoto, barangkali untuk dibuat kenang-kenangan dan mungkin juga sebagai bukti lawatan kepada sanak saudara dan rakan-rakan mereka. 

Masjid Biru yang tersergam indah

Suasana musim bunga yang indah
di perkarangan Masjid Biru

Setelah beriktikaf seketika di dalam masjid, kami keluar ke perkarangan masjid untuk menuju ke Hagia Sophia. Dalam perjalanan ke sana, kami berhenti sebentar untuk makan roti yang berintikan hazelnut. Terdapat tiga jenis roti, ada dua yang berupa bagel dan satu roti lapis. Perasaan ingin tahu kami melonjak untuk mengenalpasti adakah roti tersebut bagel. Setelah merasa sedikit, salah satu roti yang kelihatan seperti bagel komposisinya adalah agak liat seperti bagel, manakala yang satu lagi ialah roti biasa tetapi dibentuk seperti bagel. Usai membeli tiket masuk ke Hagia Sophia, kami berjalan secara santai dan tenang sambil membaca kisah-kisah sejarah silam tentang bangunan penuh bersejarah ini yang mula dibangunkan oleh maharaja Byzantine dan digunakan sebagai gereja pada asalnya, dan kemudiannya diubah menjadi masjid di zaman pemerintahan Uthmaniah semasa pemerintahan Sultan Muhammad al-Fatih sekitar tahun 1453 sehingga tahun 1935 dan setelah itu bangunan ini diisytihar sebagai muzium sehingga kini. 


Berbagai jenis roti yang boleh didapati di sini


bersambung...





Comments