LOTTE WORLD, SKI PYEONGCHANG, KIMCHI SCHOOL & PASAR MALAM MYEONGDONG (PART 3)


oleh: Nur Faidah Mohamad Ariff
Hari ketiga kami berwisata pula adalah lebih banyak melakukan aktiviti luar seperti bermain permainan di taman tema “Lotte World” yang merupakan taman tema terbesar di dunia. Lotte World terletak di selatan “Han River” bagaikan syurga permainan dek kerana terdapat berbagai wahana permainan seperti “Adventure of Sinbad”, “Bungee Drop”, “French Revolution Roller Coaster”, “Baloon Sky Ride” dan banyak lagi. Sekalipun taman tema ini penuh dengan orang ramai dan pengunjung tempatan, ia tetap menjadi pilihan masyarakat tempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga pada hujung minggu. Dek kerana suhu mencapai -10 bawah paras beku dan agak bahaya untuk mesin permainan beroperasi, penulis sedikit terhad untuk mencuba wahana permainan di luar. Walau bagaimanapun, ia tidak mematahkan keterujaan kami untuk bermain aktiviti di dalam bangunan. Dek kerana ruang yang sangat luas di taman tema ini, sesekali kami tersesat untuk mencari jalan keluar. Mujurlah masyarakat tempatan sudi membantu kami mencari petunjuk arah keluar disebabkan kebanyakan tulisan dipaparkan adalah bahasa ibunda mereka. Kami sangat teruja dan menyeronokkan walaupun sedikit keletihan untuk ke destinasi seterusnya.

Lotte World

Suasana di Lotte World yang sentiasa dipenuhi pelancong
dek kerana permainan yang menghiburkan dan dekorasi taman tema yang luar biasa

Related image
Pemandangan dari luar Taman Tema Lotte World

Usai itu, kami terus menuju ke dunia ski yang terletak Pyeongchang, timur Seoul memakan masa selama satu jam dan setengah dari Lotte World. Mengikut kepada perkongsian cerita dari pemandu pelancong, Sukan Olimpik Winter 2018 dijadual berlangsung di sini pada 09-25 Februari 2018 oleh kerana tempat ini amat sesuai sekali dengan pelbagai acara sukan utama antarabangsa. Apabila telah selesai mengisi perut, kami terus dibawa ke kedai menjual dan menyewa pakaian dan kasut ski. Setelah selesai berususan, jam di tangan menunjukkan tepat jam tujuh malam dan suhu pada ketika itu semakin sejuk iaitu sekitar -10 di bawah paras beku. Berpandukan kepada pengalaman pelancong yang merupakan peluncur ski tegar, waktu malam adalah lebih sesuai untuk meluncur ski dan kebanyakan peluncur ski profesional seringkali berlatih meluncur pada waktu itu. Penulis sekeluarga menghabiskan masa selama dua jam mencuba sukan luncur sekalipun tidak begitu mahir selain menghayati kedinginan malam sambil bermain dengan salji yang turun secara gerimis bagaikan air hujan. Kami pulang ke hotel sesudah memulangkan semula pakaian dan peralatan meluncur di kedai itu. Kenangan terindah ketika meluncur ski di Pyeongchang bagaikan mimpi dalam tidur dan penulis tidak putus-putus bersyukur di atas keizinanNYA memberi kesempatan kepada kami merasai pengalaman di sana.
Related image
Set khas ikan mackerel bakar dan sotong dimasak pedas
dihidangkan bersama nasi putih dan sayur-sayuran
Bilik tidur penulis yang ringkas dan
mengikut budaya masyarakat Korea

Pemandangan dari arah hotel berhadapan dengan gunung diselaputi
salji tebal yang begitu memukau mata

Sayup mata memandang, Pyeongchang
bakal menjadi tuan rumah untuk Sukan Olimpik 2018

Suhu di Pyeongchang di bawah paras beku
sekitar -10 C

Pintu masuk utama

Penulis mengabadikan kenangan di hadapan gunung indah dilitupi salji
berlatarbelakangkan "cable car" yang sentiasa dinaiki pengunjung

Salji indah memutih bak salju yang begitu mengasyikkan

Hari keempat di bumi winter sonata, kami ke destinasi seterusnya iaitu Kimchi School yang terletak di Bandar Seoul. Kami berpeluang untuk menyediakan makanan tradisi Korea iaitu kimchi. Seorang pelatih yang ditugaskan khas untuk menyediakan kimchi telah memberi tunjuk ajar dan penerangan kepada kami sebelum kami mencuba sendiri pengalaman membuat kimchi. Bahan-bahan membuat kimchi adalah terdiri daripada kobis cina disaluti pes cili, garam dan gula diperap dengan sedikit cuka selama beberapa hari Sekali imbas dengan mata kasar agak mudah, akan tetapi cara penyediaannya sangat bersistematik dan tidak boleh dipandang enteng. Kami menghabiskan masa selama 30 minit selain menyaksikan sendiri kilang kecil itu memproses rumpai laut kering sehingga ke proses pembungkusan untuk dijual. Antara perisa yang boleh didapati ialah rumpai laut pedas, rumpai laut bersalut pulut, rumpai laut dicampur ikan, rumpai laut berperisa ginseng dan sebagainya. Ia merupakan suatu pengalaman baharu penulis sekeluarga selain dapat menambahkan ilmu pemasaran dan produktiviti. Kami turut membeli beberapa bungkus rumpai laut kering yang siap diproses sebagai buah tangan kepada rakan-rakan dan jiran tetangga sekembalinya ke tanah air.
Image result for kimchi school seoul
Kimchi School
Penulis dan sekeluarga dihidang dengan berbagai jenis kimchi
setelah selesai proses membuat kimchi

Related image
Proses menghasilkan kimchi yang sangat teratur
diberi tunjuk ajar oleh chef dari Kimchi School

Pada sebelah malam pula, kami menuju ke pasar malam sambil menghirup udara malam yang begitu nyaman dan dingin sekali. Penulis sekeluarga bersantai dan mencuci mata di sekitar pasar malam yang terletak di “Namdaemun Street” dan “Myeongdong Fashion Street”. Pasar malam ini sering menjadi tumpuan masyarakat tempatan mahupun pelancong asing dan ia dikategorikan antara 10 buah bandar makanan terbesar di Asia. Variasi jenis makanan korea dan pakaian murah dijual di sini selain peralatan solek jenama tempatan dan antarabangsa. Pasar Namdaemun merupakan pasar malam tradisional terbesar dan tertua di Korea. Pasar malam ini berdekatan dengan stesen bas dan memakan masa selama 10 minit sahaja untuk sampai ke sini. Manakala, “Myeongdong Street” pula merupakan tempat yang tepat untuk pengunjung membeli-belah pakaian, kasut, aksesori, barang kemas, kosmetik dengan harga yang murah dan berpatutan. Malah, lebih 1 juta orang berkunjung setiap hari. Pasar yang terletak di tengah-tengah Seoul ini telah menjadi saksi kepada sejarah moden Negara Korea sebagai pusat politik bandar, ekonomi, dan budaya. Bagi pelancong asing pula, Myeong-dong adalah kawasan membeli-belah yang menakjubkan dengan pelbagai kedai dan restoran yang tidak terkira banyaknya.
Pasar malam di Myeongdong senantiasa menjadi tumpuan
pengunjung tempatan dan pelancong

Keunikan makanan yang dijual selain
sikap penjual yang begitu ramah menjadi tarikan utama

Penulis dan sekeluarga mencuci mata dan berjalan di sekitar jalan yang dipenuhi orang ramai yang semakin memenuhi pasar jalanan itu. Kami membeli cenderamata sebagai tanda kenangan apabila pulang ke tanah air. Walau bagaimanapun, makanan halal agak sukar didapati di pasar jalanan itu oleh kerana kebanyakan makanan dijual oleh warga tempatan di sana walhal ramai pelancong datang ke bumi winter sonata ini untuk mengabadikan 1001 momen indah sepanjang hayat. Penulis berpendapat agar kedai makanan halal diperbanyakkan di masa akan datang oleh kerana negara  K-Pop ini senantiasa menjadi pilihan pengunjung luar untuk bercuti bersama keluarga dan rakan taulan. Kami bergegas pulang ke hotel setelah jam di tangan jelas menunjukkan senja telah melabuh tirainya selain keletihan disebabkan banyak melakukan aktiviti luar pada sebelah pagi. Kami kembali ke tanah air dengan perasaan gembira yang tidak terkata-kata. Penulis berjanji akan kembali semula atau melawat sekali lagi bumi winter sonata ini bersama teman-teman tetapi kali ini secara “backpacker” pula.
Hari terakhir penulis sekeluarga di bumi k-pop ini, kami disajikan
dengan sup ayam ginseng dan kurma, kimchi segar, buah-buah2an dan daging rebus

Penulis membeli alat mekap berjenama "Moonshot"
dan terkecuali dari membayar cukai di kedai "Duty Free"

Selesai sudah catatan perjalanan penulis. Sesungguhnya hati dan sanubari penulis bagaikan tertinggal di bumi winter sonata. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Sungguhpun negara tercinta tiada 4 musim seperti di negara Korea, namun penulis bersyukur dilahirkan sebagai warganegara Malaysia, tempat mencari rezeki dan menabur bakti. Secara tuntasnya, rancangan perjalanan dan persediaan rapi oleh penulis sekeluarga secara bersama amatlah bertepatan dalam menjadikan pengembaraan di bumi winter sonata dan K-Pop yang menjadi kenangan abadi buat kami. Hal ini ditambah pula dengan saling bertukar idea di antara penulis dan pemandu pelancong serta melakukan sedikit kajian berkaitan kota musim salju ini melalui teknik kualitatif (pemerhatian, kajian dan maklumbalas) telah membuatkan penulis berasa selesa dan teruja. Sikap saling membantu dan kesopanan yang tinggi oleh warga tempatan ini menjadi kenangan terindah sepanjang pengembaraan ini dan hati penulis bagaikan memanggil-manggil untuk berkunjung ke sana lagi di masa akan datang.
Suasana di tingkat atas hotel didiami penulis sekeluarga,
bagai taman indah untuk menghirup udara nyaman dan menyegarkan

Kesejukan sehingga mencengkam tulang
sesekali angin datang menerpa

Hotel Rich Diamond terletak di Gangbuk-gu, Seoul

Penerbangan penulis sekeluarga balik ke tanah air tercinta

Menyajikan hidangan masakan korea
di dalam penerbangan balik ke Malaysia




Comments