PULAU NAMI & KOTA SEOUL (PART 2)

oleh: Nur Faidah Mohamad Ariff

Jadual asal yang diatur pada hari kedua ialah melawat Pulau Nami, sebuah tempat berwisata paling popular di Korea Selatan. Walau bagaimanapun, ia tetap tidak menghalang kami untuk meneruskan wisata di bumi winter sonata itu. Setelah hampir dua jam, akhirnya kami sampai ke pulau romantis dan indah itu. Pulau yang sering menjadi igauan pencinta drama korea selain terkenal dengan tempat memadu kasih kepada pasangan raja sehari ini sentiasa menjadi pilihan pengunjung terutama pelancong dari luar negara. Pulau Nami berasal dari nama salah seorang Pahlawan Korea Selatan, iaitu Jenderal Nami. Makam sang jenderal juga turut berada di pulau ini. Namun, nama pulau ini menjadi semakin popular dek kerana pengambaran drama bersiri “Winter Sonata” yang dibintangi oleh Bae Yong-jun dan Choi Ji-woo. Untuk sampai ke pulau itu, kami perlu menaiki feri yang direka khas selama 30 minit.


Tempat menunggu feri ke Pulau Nami, iaitu sebuah pulau romantis 
dan sangat mengasyikkan, suhu sekitar -10 darjah celcius


Keindahan pulau ini sentiasa menggamit hati dan sanubari 
pengunjung yang datang


Memahat memori indah di setiap pelosok pulau

Mata penulis tidak berkelip oleh kerana terpaku dek kecantikan dan keindahan pulau itu. Pulau yang indah lagi memutih itu diselaputi salji yang tebal yang sesekali datang angin sejuk menerpa kami, kami turut berpeluang merasai kehangatan sup bebola ikan, pau yang dikukus dalam telaga selain berpeluang merakamkan foto keluarga sebagai kenangan terindah di sini. Penulis dan sekeluarga amat mengagumi ciptaan Yang Esa dan amat bersyukur mendapat peluang keemasan ini untuk menghayati segala kebesaranNYA. Usai itu, kami singgah solat jamak di bilik musolla yang terdapat di salah sebuah kedai di situ. Kedai makanan segera, cenderamata serta kedai kopi untuk menghangatkan badan turut boleh dikunjungi pengunjung. Selama hampir sejam di pulau itu, tubuh kami seakan-akan tidak berfungsi dek kerana terlalu sejuk seperti berada di dalam peti sejuk sekalipun telah memakai jaket tebal dan kasut but kulit kalis air. Kami terus meletakkan hot pad di poket jaket dan dalam kasut untuk meredakan kesejukan yang agak ekstrem.  Itulah pengalaman yang terpahat di memori penulis hingga kini dan masih terngiang-ngiang di sanubari.

 

Simbolik Pulau Nami dan Drama Winter Sonata
yang sering meniti di bibir peminat fanatik negara 4 musim ini 


Pondok indah yang masih kukuh sekalipun ditiup angin kencang 
yang datang menerpa


Penulis singgah sebentar di surau atau bilik musolla 
untuk menunaikan solat


Masakan rebus dan air suam sebagai pembasah tekak sepanjang keberadaan 
di bumi winter sonata sangat menyihatkan

Sementelah menunggu ketibaan feri untuk pulang semula, kami sempat berswafoto berlatarbelakangkan ukiran salji air terjun dan pintu gerbang pulau itu. Sungguh mempersonakan sekali ketenangan di pulau itu bahkan, kami seperti tidak mahu berpisah dek kerana terpana dengan keindahan sekitar yang diselaputi salji selain kebersihan pulau itu begitu menggamit hati dan jiwa. Usai kembali, perut sudah mula berkeroncong dan pemandu pelancong terus menuju ke restoran makanan halal tidak jauh dari situ.  Variasi makanan yang enak telah tersedia di atas meja bagaikan tidak sabar menanti kehadiran kami. Aroma yang begitu mencengkam kalbu telah membuatkan kami menjamu selera dengan khusyuk tanpa menoleh ke kiri dan kanan. Makanan tradisi yang merupakan lambang dan kebanggaan masyarakat tempatan ini habis dijamah dengan begitu cepat sekali dek kerana kesedapan yang tidak mungkin boleh didapati di tanah air. Penulis sekeluarga dihidangkan dengan sup ayam ginseng, kimchijeon atau lempeng kimchi, kimbap, bibimbap atau nasi campur ala Korea, mee tepung ubi yang direbus bersama aneka sayuran serta air suam.

 
Sup ayam ginseng + kurma yang enak dan berkhasiat


Penulis dan sekeluarga menjamu selera di 
salah sebuah kedai makanan halal 


Perjalanan seterusnya kami akan dibawa melawat Istana Gyeongbokgung yang terletak di utara Seoul. Penulis berkenan berkongsi serba sedikit berkaitan sejarah istana ini. Ia merupakan istana utama dan terbesar dari lima istana dibina oleh Putera Dinasti Joseon pada zaman itu. Pada ketika Perang Imjin berlaku, ia telah hancur musnah disebabkan oleh kebakaran dan ditinggalkan selama dua abad. Walau bagaimanapun, pada abad ke-19, semua 7,700 bilik istana kemudiannya dipulihkan di bawah kepimpinan Putera Regent Heungseon ketika zaman pemerintahan King Gojong. Kira-kira 500 bangunan telah dipulihkan pada tapak lebih 40 hektar. Pada awal abad ke-20, kebanyakan istana ini secara sistematik dimusnahkan oleh Imperial Jepun. Sejak itu, kompleks istana berdinding secara beransur-ansur sedang dibina semula ke bentuk asalnya. Kini, istana itu boleh dikatakan dianggap sebagai yang paling indah dan termegah dari kesemua lima istana selain menempatkan Muzium Istana Korea. Usai itu, kami terus melawat “Korean Traditional Hanok Village” dan penulis sekeluarga sempat mencuba pakaian tradisional Korea dan berswafoto bersama.

 

Istana Gyeongbokgung yang sangat luas bak saujana mata memandang,
menyimpan 1001 sejarah, dan menjadi kebanggaan masyarakat di Korea


Perkarangan tasik di luar istana yang telah membeku 
dilitupi salji tebal dek terlalu ekstrem sejuknya


Menelusuri dan menikmati panorama di sekitar istana 
paling indah dan termegah dari kesemua lima istana


bersambung...

Comments