KÖFTE ÇEKMEKÖY & TOMYAM KUALA LUMPUR (PART 2)


oleh: Khairul Akmaliah Adham & Rosmah Mat Isa

Masak Tomyam untuk Orang Çekmeköy

Selesai menikmati kesemua hidangan makan tengahari yang lengkap, kami keluar dari kawasan apartmen untuk pergi ke kedai membeli barang-barang basah untuk memasak tomyam pula. Sebenarnya, kami sudah berpakat untuk menyediakan hidangan tersebut memandangkan anak-anak Mesut dan Sumayyah merindui makanan dari Malaysia yang pernah mereka nikmati sebelum ini. Hal ini diberitahu kepada kami oleh Mesut sebelum kedatangan kami ke Turki. Bahan-bahan kering yang lain seperti pes tomyam, serta serai dan daun limau purut kering telah kami bawa siap-siap dari Malaysia.  Kami sampai ke kedai daging segar yang berhampiran dan terus memesan ayam bahagian dada dan meminta penjual daging untuk memotongnya kecil-kecil menjadi bentuk dadu. Seterusnya kami ke kedai bersebelahan iaitu kedai runcit yang ada menjual pelbagai jenis sayuran termasuk cauliflower, lada benggala dan tomato yang diperlukan dalam masakan tomyam.  


Teh yang dihidang dalam cawan kecil berbentuk tulip
sebagai penutup makan tengahari.

Sekembalinya kami dari kedai, kami terus ‘bersilat’ untuk memasak tomyam sambil diperhatikan Sumayah yang malah telah bersedia untuk menyalin resepi. Setelah bawang ditumis hingga kekuningan, tomato yang dipotong kecil, serai dan sedikit serbuk cili dimasukkan ke dalam periuk dan dikacau. Kami juga memotong sayur-sayuran segar yang dibeli tadi. Seterusnya, ayam yang dipotong dadu tadi dimasukkan ke dalam periuk bersama-sama satu jag air. Setelah air mendidih, sayuran dan cili api yang telah dipotong juga dimasukkan. Kami mengurangkan sukatan cili api berbanding kebiasaan kami di Malaysia memandangkan orang-orang Turki kebanyakannya tidak tahan pedas. Kemudiannya beberapa helai daun limau purut di masukkan ke dalam periuk bagi menambah aroma. Akhir sekali, perahan air limau kasturi dan beberapa sudu santan di masukkan ke dalam periuk bagi membangkitkan rasa masam dan lemak. Tariq dan Abdullah asyik keluar masuk ke pintu dapur bertanyakan sama ada tomyam telah sedia untuk dimakan. Selesai memasak, masing-masing terus menikmati sup tomyam panas-panas. Anak-anak Mesut dan Sumayyah tidak berhenti-henti memuji keenakan masakan tomyam kami.

 

Tomyam sedia dimasak untuk keluarga Turki

Sedang mereka menikmati tomyam, kami bersolat dan bersiap sedia meneruskan niat kami untuk berjalan-jalan di daerah Sultanahmet iaitu Bandar Asal Istanbul di sebelah benua Eropah yang sebuah kawasan pelancongan paling popular bagi orang-orang tempatan mahupun antarabangsa. Walaupun Mesut dan Tariq masih penat kerana meraikan kami, namun mereka berbesar hati untuk menghantar kami hingga ke hotel tempat kami menginap di tengah-tengah kota Istanbul. Hati kami benar-benar tersentuh oleh layanan mereka terhadap kami. Jelas sekali bahawa mereka begitu menghayati anjuran dan sunnah Rasullullah dalam keikhlasan dan kesungguhan merai tetamu. Yang menariknya ialah anak-anak Mesut yang amat ramah melayani kami walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris. Begitu juga dengan Sumayyah yang tidak lokek ilmu malah cekap pula melayani tetamu. Terasa silaturahim yang terbina ini amat sayang untuk putus di sini sahaja, malah akan kami akan panjangkan dalam kunjungan akan datang.


Bergambar bersama setelah selesai makan.
Tariq dan Abdullah penggemar Tomyam


Comments