TEROKAI KOREA SELATAN BERSAMA IDEOGRAM HALAL (PART 1)

oleh: Nur Faidah Mohamad Ariff

Keindahan Bumi Winter Sonata

Dingin, nyaman dan bersih. Itulah ungkapan yang sering meniti di bibir kebanyakan pelancong mahupun diri penulis sendiri terhadap negara yang sering mendapat jolokan sebagai Bumi Winter Sonata dan K-Pop oleh kerana terkenal dengan drama romantisnya dan variasi lagu yang kian digemari oleh generasi muda khususnya di seluruh negara waima tanah air tercinta yang turut menerima tempiasnya. Dek kesejukan disebabkan cuacanya yang mencecah di bawah paras beku, negara yang mempunyai 4 musim ini sering terkenal dalam kalangan pelancong dengan permainan skinya dan kesedapan makanan tradisi ibunda mereka. Negara ini juga dikenali oleh kecanggihan teknologi dan kemajuan pembangunannya, selain merupakan tempat yang diidamkan oleh pasangan yang baru mendirikan rumah tangga untuk memahat memori dan mengabadikan kenangan terindah di Bumi Winter Sonata ini. Pandangan mata kasar penulis bagaikan terpana dengan keindahan negara ini yang penuh dengan warna warni kehidupan dan alam sekitarnya.

Baru-baru ini penulis dan sekeluarga berkesempatan mengunjungi dan menjejaki Bumi Winter Sonata & K-pop ini. Penulis dan sekeluarga terutama adik bongsu penulis sangat teruja untuk mengembara dan merasai sendiri pengalaman berwisata di salah sebuah negara musim sejuk ini. Lebih-lebih lagi, trend kini masyarakat yang sangat fanatik dan mengikuti secara dekat lagu-lagu K-pop dan drama bersiri dari negara itu. Masakan tidak, remaja terutamanya begitu obses untuk meniru personaliti dan gaya hidup warga korea seperti fesyen baju, rambut dan barangan kecantikan juga turut tidak terkecuali. Antara drama yang sering dekat dihati dan jiwa masyarakat ialah Winter Sonata, Autumn in My Heart, Spring Day, My Girl dan lain-lain. Tujuan penulis dan sekeluarga ke sana adalah untuk mengamati ciptaan dan kebesaran Allah, mempelajari budaya masyarakat di sana yang begitu menepati masa dan mesra alam, menambah ilmu pengetahuan dan tidak lain tidak bukan untuk  mengeratkan hubungan ikatan kekeluargaan bersama.

Rancangan bercuti ke bumi winter sonata ini sudah lama bersarang di hati, namun atas faktor kekangan masa dan desakan kerja serta kuliah yang perlu dihadiri telah memaksa penulis dan sekeluarga menangguhkan ke tarikh yang bersesuaian dengan jadual semua ahli keluarga. Penulis dan sekeluarga telah menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan kerajaan iaitu Tabung Haji Travel oleh kerana yakin dengan keupayaan penyedia perkhidmatan mereka sebelum ini selain mematuhi dasar syariah Islam yakni memastikan pelanggan disediakan makanan halal, keutamaan waktu solat dan tidak melanggar hukum hakam agama. Hal ini lebih menyakinkan penulis dan keluarga untuk terus memilih Tabung Haji Travel sebagai agensi pelancongan kami di masa akan datang.  


Logo Tabung Haji Travel dari laman sesawang rasmi Tabung Haji

Penulis sekeluarga pernah berkunjung ke Negara Kangaroo, iaitu Australia pada tahun 2011 juga menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan itu. Penulis sekeluarga sebulat suara bersepakat memilih untuk melawati negara itu ketika musim salji rancak bermula oleh kerana ingin merasai sendiri pengalaman bermain salji dan aktiviti masyarakat di sana ketika negara mereka diselaputi salji memutih nan indah itu kerana tidak terdapat di negara sendiri.

Perjalanan penulis

Penulis sekeluarga telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.30 petang. Perjalanan ke Korea mengambil masa sekitar 7-8 jam tanpa henti, akan tetapi penulis mengambil penerbangan transit ke Negara Indonesia terlebih dahulu selama 1 jam, dan kemudian bertolak ke bumi winter sonata pada sekitar jam 12.30 pagi mengikut kepada jadual perjalanan yang disediakan. Tepat jam 8.30 pagi, kami sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea diiringi gerimis salji yang turun seolah-olah menyambut kedatangan penulis sekeluarga dengan penuh keterujaan dan kegembiraan. Suhu di luar ketika itu adalah sekitar -4 bawah paras beku seperti dimaklumkan oleh juruterbang. Kami seolah-olah terpaku seketika akan suhu yang perlu ditempuh nanti. Pemandu pelancong telah menunggu kami di balai ketibaan untuk membawa kami melewati sekitar Bandar Seoul hingga ke petang. Walaupun sedikit keletihan kesan dari penerbangan jauh, kami tetap bersemangat untuk meneruskan perjalanan dengan keceriaan di hati.



Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan yang mula dilitupi salji tebal

Bandar Seoul adalah sebuah bandar yang sangat membangun dan sentiasa sibuk dengan masyarakat melakukan aktiviti perniagaan, membeli-belah, variasi kedai makanan lebih-lebih lagi kedai kopi ‘Starbuck Coffee’ yang boleh didapati dimana-mana. Kedai yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan itu sentiasa dipenuhi pelanggan setiap masa tidak kira golongan usia. Bandar ini turut menjadi tumpuan pelancong untuk membeli-belah, menikmati pemandangan sekitar yang boleh dipuji kebersihannya, variasi kedai makanan ibunda yang menjadi kegemaran ramai serta keutuhan bangunan tinggi yang menjadi mercu utama dan kebanggaan masyarakat bumi winter sonata itu. Apa yang membuatkan penulis kagum ialah majoriti masyarakat negara itu menggunakan kenderaan buatan tempatan oleh kerana pemimpin mereka tidak menggalakkan kenderaan luar masuk dan mendominasi pasaran mereka selain pengangkutan awam yang begitu mesra pengguna. Kebanyakan golongan muda menggunakan perkhidmatan awam dengan penuh bertolak ansur dan saling membantu. Selain itu, jaringan wi-fi yang amat baik sekali di negara K-Pop ini sangat senang didapati di mana-mana waima di pasar malam sekalipun dan sememangnya ia memudahkan perjalanan kami sepanjang di sana.



Kedai Makanan Halal di Itaewon

Mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa

Penulis sekeluarga kemudian dibawa ke sebuah kedai makanan halal yang menyajikan hidangan daging rebus dan tepung yang dikukus, sayur yang diperap dengan cili dan cuka dikenali sebagai kimchi, berbagai jenis sayuran rebus, semangkuk kecil nasi pulut, ikan bilis digaul gula dan disusuli air teh ginseng panas. Hidangan yang amat menyihatkan tubuh badan dan begitu menyelerakan sekalipun tidak pernah merasai masakan dari negara itu sebelum ini. Kami menjamu selera tanpa menoleh kiri dan kanan kerana lapar dek kesejukan cuaca di luar yang begitu mencengkam tulang. Kenangan yang takkan kami lupakan dalam ingatan memori ini. Usai itu, kami meneruskan perjalanan ke Itaewon. Kami singgah menunaikan solat jamak di Masjid Besar Itaewon terletak di atas bukit, satu-satunya masjid yang terdapat di negara itu. Amat indah sekali dapat mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa sebagai orang yang bermusafir dan merasai keunikan masjid yang agak berbeza di tanah air seperti tempat wudhu yang terletak di bawah tanah.



Masjid Itaewon yang unik dan menarik

Saat indah dan bermakna yang tidak mungkin dapat penulis sekeluarga lupakan sepanjang hayat. Usai itu, kami meneruskan perjalanan ke Hongdae yang memakan masa kira-kira 30 minit. Hongdae yang terletak di Bandar Seoul itu amat sesak sekali dengan ratusan pengunjung kerana terdapat berbagai barangan dijual dan menjadi tumpuan pelancong asing juga untuk membeli-belah dan melawat di sekitar kawasan itu. Hongdae yang turut dikenali sebagai bandar seni ini bagaikan sama sesaknya situasi di situ seperti di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur yang sentiasa penuh dengan orang ramai oleh kerana banyak kedai jualan cenderamata, Muzium 3D, kelab hiburan, malahan salah sebuah universiti tempatan iaitu Universiti Hongik juga ada di sana. Selain itu, ia turut menganjurkan festival seni jalanan dan persembahan, serta konsert muzik oleh artis bebas dan penghibur arus perdana. Kami singgah di Muzium “Trick Eye 3D” dan “Snow World” dan berpeluang merakamkan foto kenangan yang sangat menyeronokkan selain turut boleh bermain permainan salji di dalamnya.



Pasar malam yang begitu memukau penulis

Sajian masakan korea 

Setelah selesai lawatan pada hari pertama, pemandu pelancong kemudiannya terus membawa kami menjamu selera di sebuah kedai makanan halal sebelum menghantar kami pulang ke hotel untuk beristirehat bagi menyambung pengembaraan keesokan harinya. Kami dihidangkan dengan makanan tradisi korea seperti bulgogi atau daging BBQ korea, kimchi salad, sup rumpai laut korea, semangkuk nasi pulut, tteokbokki (tepung beras disaluti sos cili merah manis), air teh ginseng dan air suam. Hidangan sihat dan rendah kalori itu sesekali mengasyikkan dan menyelerakan diterjah pula dengan angin sejuk yang kadang-kadang menusuk hingga ke tulang. Keesokan harinya, salji semakin rancak membasahi bumi winter sonata ini memaksa pemandu pelancong mengubah sedikit jadual masa perjalanan kami. Suasana di luar sekitar -8 di bawah paras beku mengehadkan aktiviti luar yang dirancang.




Disaji dengan menu ibunda masyarakat korea, 
makan dengan penuh tertib dan sopan

bersambung....

Comments